Mungkin anda sudah biasa melihat keluhan pengguna Facebook yang kecewa apabila foto mereka digunakan untuk akaun yang tidak pernah dibuka selama ini atau anda sendiri pernah merasai pengalaman sama.
Individu tidak bertanggungjawab cuba menyamar menjadi anda dengan menggunakan foto atau maklumat peribadi dan kemudian mendaftar di media sosial.
Kalau setakat menyamar tanpa berbuat apa-apa mungkin masih boleh dimaafkan tetapi bagaimana pula sekiranya individu terbabit menggunakan identiti anda untuk menipu di laman sosial seperti menjual barang tetapi tidak menghantarrnya kepada pelanggan?
Sudah pasti nama anda yang busuk akibat tindakan terbabit.
Apakah punca utama berlaku kecurian identiti di Facebook terutama yang menjurus kepada kegiatan jenayah atau ugutan siber?
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, jenayah siber kini menjadi satu ancaman yang serius kepada pembangunan sosioekonomi dan keselamatan negara.
“Peningkatan insiden atau jenayah siber berpotensi melumpuhkan kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi sesebuah negara,” katanya.
Menurut beliau, di bawah undang-undang Malaysia iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Seksyen 233, menjadi satu kesalahan apabila seorang individu mendaftar perkhidmatan komunikasi dan multimedia dengan niat melakukan penipuan atau khianat.
“Ia bermaksud bahawa mana-mana individu yang mendaftar perkhidmatan komunikasi dan multimedia menggunakan identiti individu lain untuk penipuan atau khianat adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Malaysia dan boleh dikenakan denda.
“Justeru, Kerajaan Malaysia melihat jenayah kecurian identiti ini sebagai satu jenayah yang serius kerana ia boleh memusnahkan kewangan, sejarah kredit dan reputasi seseorang individu (mangsa) dalam sekelip mata,” katanya.
Tambahnya, selain itu, ia juga mengakibatkan kerosakan yang besar dalam kehidupan seseorang apabila ia memerlukan masa, wang dan kesabaran untuk menyelesaikan masalah berkaitan kecurian identiti ini.
“Umumnya, kecurian identiti berlaku apabila seseorang yang tidak dikenali mencuri dan menggunakan maklumat peribadi individu seperti nama, tarikh lahir, nombor telefon, alamat rumah, nombor kad pengenalan atau nombor kad kredit untuk tujuan tidak baik seperti penipuan dan ugutan siber,” katanya.
Jelas Dr Amirudin, insiden ini berlaku akibat kelalaian mangsa dalam melindungi maklumat peribadi terutama dalam situasi kegagalan mengawal emosi.
“Misalnya perasaan cemas atau tamak apabila menerima mesej atau e-mel yang mempunyai unsur ‘phishing’ daripada penjenayah siber,” katanya.
Penjenayah siber hari ini, beroperasi dengan licik. Mereka mempunyai pelbagai sumber dan kaedah untuk mendapatkan maklumat berkaitan identiti mangsa serta tidak lagi melakukan jenayah ini secara sendirian.
“Mereka cenderung untuk bekerja secara bersindiket dan lebih buruk kumpulan sindiket terancang sebegini sukar untuk dibanteras kerana mereka profesional dan mempunyai motivasi yang tinggi,” kata Dr Amirudin.
Katanya, penjenayah seperti ini sanggup menyelongkar tong sampah mangsa untuk mendapatkan maklumat seperti bil utiliti, bil kad kredit, penyata kewangan dan sebagainya.
“Mereka juga sanggup menyamar sebagai pekerja daripada organisasi yang sah seperti syarikat perbankan, perubatan dan juga pejabat kerajaan semata-mata untuk untuk memperdaya mangsa mendedahkan maklumat peribadi mangsa.
Di ruang siber pula, terdapat empat jenis modus operandi yang biasa digunakan penjenayah untuk mendapatkan maklumat peribadi iaitu:
• Menggunakan teknik penggodaman
• Menggunakan teknik curi secara fizikal (curi komputer laptop, telefon pintar dan sebagainya)
• Menggunakan teknik kejuruteraan sosial (penyamaran melalui telefon, e-mel dan fizikal)
• Menggunakan teknik sosial media (manipulasi maklumat melalui laman web sosial media)
No comments:
Post a Comment