Sunday, 14 August 2016

Abai Maklumat Untungkan Penjenayah

KETIKA Akademi Fantasia musim keenam (AF6) menuju kemuncaknya, tersiar di akhbar kisah seorang imam di Arau, Perlis yang terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi SMS AF6. Bagaimanapun nasib masih menyebelahi imam tersebut yang cepat tersedar dan hanya kehilangan RM240 sahaja.
Kisah ini adalah satu contoh bagaimana mudahnya maklumat diri seseorang boleh diperolehi pada masa kini. Sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya penjenayah boleh memperolehi pelbagai jenis maklumat diri kita dengan begitu mudah dan menggunakannya untuk sesuatu niat yang tidak baik (kebanyakan didorong oleh kewangan) seperti kes peras ugut dan penipuan.
Maklumat diri seperti tarikh kelahiran, nama, alamat, nombor telefon, nom- bor kad pengenalan, nombor lesen memandu, nombor kad pelajar, nama pengguna dan kata laluan akaun Internet, nombor dan kata laluan perbankan Internet, maklumat kad bank dan kad kredit.
Semua maklumat ini sebenarnya boleh diperolehi dengan mudah melalui si- jil kelahiran, lesen memandu, rekod ke- sihatan, rekod pekerjaan, rekod kredit, transkrip kolej, pasport, e-mel, surat- surat yang diterima, bil elektrik, bil telefon, bil air, polisi insurans, penyata akaun bank, penyata kad kredit dan sebagainya.
Maklumat ini yang kebanyakannya disimpan di rumah dan pejabat juga bo- leh diperolehi dari dalam beg duit, beg tangan, bakul sampah, komputer, Internet dan juga kabinet fail.
Sejak beberapa tahun lalu, kes-kes ke- curian maklumat diri semakin meningkat. Identity Theft New Survey & Trend Report telah menganggarkan 38 peratus atau kira-kira 14 juta warga dewasa Amerika Syarikat (AS) menjadi mangsa kecurian maklumat diri dalam tempoh Januari 2001 hingga pertengahan Mei 2003. Dalam tempoh yang sama, kumpulan mangsa ini juga telah kehilangan lebih kurang AS$3.8 bilion (RM14.4 bi- lion) bagi tujuan pembayaran yang bersabit daripada kes-kes penipuan ini.
Majalah Communications telah memberi amaran kepada pembacanya berkenaan peningkatan kes kecurian maklumat diri di AS sehingga menjadikannya jenayah yang sangat perlu diberi perhatian.
Pasukan Tindakbalas Kecemasan Kom- puter Malaysia (MyCERT) mengklasifikasikan kes-kes kecurian maklumat diri sebagai sebahagian daripada kegiatan penipuan siber.
MyCERT melaporkan bahawa terdapat peningkatan ketara dalam kegiatan penipuan siber, iaitu 364 kes pada tahun 2007 berbanding 287 kes pada tahun 2006, 149 kes (2005) dan 106 kes (2004).
Peningkatan ini adalah sangat ketara dan perlu diberi perhatian kerana bilangan kes penipuan di Malaysia adalah kurang daripada 30 kes setiap tahun di antara tahun 2000 hingga 2003. My- CERT juga menyatakan dalam empat (4) bulan pertama tahun 2008, sebanyak 124 kes telah dilaporkan berbanding 90 kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2007 dan 86 kes dalam 2006.
Walaupun angka kes kecurian maklumat diri ini tidak serius berbanding AS, warga Malaysia masih perlu berwaspa- da kerana ia merupakan satu bentuk je- nayah yang boleh menimbulkan impak kewangan ketara.
Perkembangan teknologi bukan hanya membawa kebaikan kepada masyarakat tetapi juga boleh membawa keburukan jika tidak digunakan dengan baik. Seperti contoh, perkembangan teknolo- gi Internet telah memudahkan pelanggan perbankan Internet menjalankan urusan mereka tetapi dalam masa yang sama teknologi ini boleh digunakan oleh penjenayah untuk menjalankan kegiatan jahat mereka seperti mendapatkan maklumat diri mangsa yang kemudiannya digunakan untuk mencuri wang melalui perbankan Internet.
MaklumatKecurian ini boleh dilakukan walau- pun penjenayah berada beribu-ribu kilometer jauhnya daripada mangsa. Pelbagai kaedah daripada penggunaan teknik konvensional hingga penggunaan tek- nologi yang canggih boleh digunakan oleh penjenayah dalam usaha mencuri maklumat peribadi seseorang.
Kaedah konvensional yang digunakan dalam mencuri maklumat peribadi adalah seperti tinjauan bahu (shoulder surfing), penggeledahan maklumat buangan (dumpster diving), mendengar perbualan telefon dan mencuri maklumat maklumat peribadi seperti nombor kad kredit dari dalam beg tangan yang dicuri atau diperolehi melalui kes ragut. Kecurian komputer juga salah satu kaedah kecurian maklumat peribadi yang membolehkan penjenayah mendapatkan mak- lumat peribadi daripada pangkalan data dalam cakera keras.
Kemajuan teknologi komputer dan In- ternet telah membolehkan maklumat terperinci mengenai pengguna dikumpul dan dikongsi pakai dengan lebih mu- dah. Maklumat peribadi lebih mudah diakses dan maklumat mengenai seseorang boleh didapati tanpa pengetahuannya.
Mereka boleh menggunakan teknik canggih seperti menggodam (hacking) dan menyalin pangkalan data dalam ser- ver, mengintip dalam rangkaian dan ju- ga mengumpan (phishing).
CyberSecurity Malaysia pernah mengeluarkan 13 panduan untuk perbankan Internet selamat yang boleh diperolehi daripada laman web agensi berkenaan. Panduan ini perlu diamalkan supaya kita dapat melindungi maklumat peribadi.
Risiko kecurian maklumat peribadi boleh dikurangkan jika cadangan berikut diambil kira:
Sebelum memberi sebarang maklumat peribadi dalam talian, pastikan anda berurus niaga dengan syarikat yang sah. Anda perlu menentukan kesahihan syarikat yang anda berurusan sebelum membekalkan sebarang maklumat.
Manfaatkan ciri-ciri keselamatan seperti kata laluan dan lain-lain bagi tujuan menambah lapisan keselamatan. Lapisan keselamatan lain adalah menggunakan tanda perantaraan seperti kad pintar dan maklumat biometrik seperti cap jari dan pengecaman iris.
Ambil langkah berjaga-jaga semasa memberi maklumat dalam talian dengan menyemak polisi kerahsiaan laman web yang anda berurusan.
Lindungi komputer anda daripada se- rangan virus, cecacing, Trojan dan pengancam berbahaya lain dengan menggunakan perisian anti virus yang berlesen.

Tuesday, 2 August 2016

Elakkan Kecurian Identiti : Nasihat Daripada CFM

Kuala Lumpur , 20 Ogos 2009 - Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dlm usaha mendidik konsumer bijak, mengesa orang ramai supaya lebih prihatin terhadap jenayah kecurian identiti atau identity theft.

CFM melalui program pendidikan konsumernya, berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan orang awam, khususnya konsumer komunikasi & multimedia. Salah satu risalah pendidikan konsumer CFM yang bertajuk "lindungi maklumat peribadi anda kerana ianya berharga" atau "protect your personal information because its valueable" menerangkan betapa pentingnya untuk menjaga maklumat peribadi beserta tips berguna sebagai panduan.

“palang 'untuk kegunaan CIMB sahaja contohnya' salinan kad pengenalan, passpot atau kad kredit anda jika urusniaga tersebut memerlukan salinan identiti anda" Ulas Pengarah Eksekutif CFM, Mohamad Tahir Mohamad Noor.

Beliau menambah "laman web rangkaian social contohnya, para remaja mahupun orang dewasa tidak sedar bahawa maklumat maklumat peribadi seperti alamat rumah dan nombor telefon yang disiarkan pada laman web tersebut berpotensi mengundang bahaya yang seterusnya menjadi kes kes jenayah”

CFM ada menerima aduan berkenaan kes kes penipuan yang melibatkan ‘kecurian identiti’ atau identity theft yang berakhir dengan kerugian wang ringgit dan harta benda. Mendaftar perkhidmatan komunikasi dan multimedia dengan niat fraud adalah menjadi satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 232, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa denda sehingga RM300,000 atau sehingga 3 tahun penjara atau kedua-duanya.

Monday, 25 July 2016

Jenayah Maya Tanpa Sempadan


MENYEDARI dunia Internet adalah suatu alam terbuka untuk mereka yang mahu merebut peluang menjadi kaya, seorang lelaki warganegara Switzerland tidak mahu ketinggalan mengambil kesempatan itu.

Tambah menyeronokkan hati peguam berusia 40-an itu adalah apabila berkenalan dengan seorang lelaki dari Malaysia melalui sebuah laman sosial. Dia teruja kerana menganggap pencariannya bakal membuahkan hasil lumayan.

Lelaki yang ditemui melalui jaringan maya itu memperkenalkan diri sebagai seorang ahli perniagaan yang menjalankan bisnes eksport bahan-bahan mentah penternakan dan memiliki syarikat yang berpangkalan di Malaysia.

Peguam itu ditawarkan sebuah kontrak perniagaan mengeksport bekalan makanan ayam ke Hong Kong, tetapi diminta membayar sejumlah wang terlebih dahulu bagi memastikan kontrak tersebut tidak terlepas ke tangan orang.

Teruja dengan tawaran yang tidak disangka-sangka itu, peguam itu menurut sahaja kemahuan 'ahli perniagaan' itu. Wang sejumlah RM1,360,079.50 pun telah dipindahkan ke dalam akaun lelaki tersebut.

Begitupun, oleh kerana tiada apa-apa yang berlaku dalam tempoh masa yang terlalu panjang, dia yang mempunyai latar belakang undang-undang itu telah melakukan penyiasatan sendiri terhadap syarikat tersebut dengan maklumat yang ada.

Luluh hatinya apabila mendapati syarikat tersebut palsu dan tidak pernah wujud di Malaysia. Tidak mahu si penipu siber itu terlepas begitu sahaja, dia telah melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa.
Mujur tindakan pantas pihak polis telah berjaya menangkap dua individu, seorang lelaki dan wanita berhubung kes tersebut. Itu merupakan salah satu kes jenayah siber di negara ini.

Pada 15 Jun lalu, negara digemparkan pula dengan serangan alam siber yang ditunjangi penggodam antarabangsa. Dikenali sebagai Anonymous menerusi Operation Malaysia, kesan buruk penggodamannya amat serius.

Dalam serangan tersebut, sebanyak 91 buah laman web telah mengalami gangguan perkhidmatan.

Kegiatan jenayah dan salah laku siber tidak hanya melumpuhkan laman web, malah sesiapa sahaja boleh terdedah kepada ancaman tanpa sempadan itu.

Ia terbukti apabila CyberSecurity Malaysia melalui Pusat Bantuan Cyber999 telah mencatatkan sebanyak 14,157 insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet di seluruh Malaysia dari bulan Januari sehingga November 2011.

Jumlah tersebut menunjukkan berlaku peningkatan mendadak sebanyak 97 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Mengikut istilahnya, jenayah siber merujuk kepada perbuatan atau insiden yang dilakukan di alam siber, sama ada menggunakan komputer mahupun peralatan seperti perkakasan dan perisian telekomunikasi.

"Ia dilakukan dengan menggunakan telefon pintar atau peranti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dengan teknologi Internet digunakan sebagai perantara dan tidak melibatkan perbuatan jenayah secara fizikal.

"Sebagai contoh, penjenayah ini menceroboh maklumat organisasi atau individu, harta intelektual, penipuan kad kredit, kecurian identiti, penggodaman ke atas sistem rangkaian komputer dan laman web organisasi mahupun individu," kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (Bersara) Prof. Datuk Husin Jazri ketika ditemui Kosmo!.

Husin menjelaskan, setiap aktiviti jenayah siber yang dilakukan mempunyai motif atau tujuan tersendiri seperti membalas dendam, marah, berhibur sekadar suka-suka, kewangan dan politik.
Di kebanyakan negara, landskap jenayah siber yang berlaku kesemuanya hampir sama.
Laporan insiden

Di negara ini, CyberSecurity Malaysia mengklasifikasi kategori jenayah atau ancaman siber berdasarkan data laporan insiden keselamatan siber melalui penggunaan Internet yang dikumpulkan Pusat Bantuan Cyber999.

PENIPUAN melibatkan kad kredit juga merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh penjenayah siber.

Statistik yang dikumpul melalui pusat bantuan tersebut dikenali sebagai insiden keselamatan siber, dan tidak dikategorikan sebagai jenayah siber.

Antara insiden keselamatan siber yang dikenal pasti adalah seperti penipuan, spam, pencerobohan, kod berbahaya, cubaan pencerobohan, gangguan siber, laporan kerentanan (vulnerabilities), gangguan perkhidmatan (DoS) dan juga berkaitan kandungan.

Husin memberitahu, terdapat beberapa punca atau sebab berlakunya peningkatan insiden tersebut. Antaranya adalah jumlah pengguna Internet yang semakin bertambah dari semasa ke semasa dan kurang pengetahuan mengenai kepentingan keselamatan siber.

Pusat Bantuan Cyber999 juga banyak menerima laporan insiden keselamatan Internet berkaitan penggunaan media sosial.

"Ada dalam kalangan pengguna Internet yang kurang arif dan juga kurang berhati-hati sewaktu melayari Internet," ujar beliau.

Justeru, peluang tersebut memudahkan lagi penjenayah siber untuk mengambil kesempatan ke atas mereka.

Selain daripada itu, terdapat juga peningkatan ancaman-ancaman penggodaman seperti pencacatan laman web (web defacement) dan juga pencerobohan.

Kelemahan utama yang menjadi sasaran kebanyakan penjenayah siber ialah pihak yang menggunakan penyelesaian sekuriti tidak asli dan yang luput tarikh sah.

Menurut Pengarah Saluran Jualan Kaspersky Lab Asia Tenggara, Jimmy Fong, dalam satu kenyataan akhbar, pengguna peranti teknologi seperti komputer, telefon pintar, tablet dan peranti lain, ia seumpama seseorang yang meninggalkan pintu dan tingkap rumah dalam keadaan terbuka.

"Dalam situasi perbandingan tersebut, pengguna seolah-olah berharap tiada sesiapa yang akan masuk ke dalam rumah seterusnya menyalah guna atau mencuri hak miliknya.

"Di dalam kes ini, ia melibatkan data dan identiti anda," katanya.

Kecurian Identiti Bukan Salah Bank


PENAHANAN 13 orang termasuk empat penuntut universiti kerana terlibat kegiatan mencipta laman web palsu bank sehingga mengakibatkan kerugian RM36,000, mula menimbulkan rasa ragu-ragu di kalangan pengguna perbankan Internet.
Kebimbangan itu dikatakan semakin bertambah apabila Pusat Keselamatan dan Tindak Balas Kecemasan Teknologi Komunikasi dan Maklumat Negara (NISER) mendedahkan peningkatan kes kecurian identiti pengguna perbankan Internet dari 132 kes sepanjang tempoh sembilan bulan tahun lalu kepada 159 pada tahun ini.
Bagaimanapun, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) berpendapat kes tersebut adalah terpencil mengambil kira 2.5 juta pelanggan menggunakan kemudahan itu dengan kadar peningkatan 20 peratus setiap tahun.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, YULPISMAN ASLI dan S. ANAND KUMAR serta jurugambar DJOHAN SHAHRIN SHAH, Pengerusi ABM, Datuk Abdul Hamidy Abdul Hafiz melahirkan keyakinan terhadap kemudahan itu berikutan sistem keselamatan di 22 bank di negara menepati tahap piawaian dunia.


MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat trend kecurian identiti melibatkan pelanggan perbankan Internet atau phishing di negara ini.
ABDUL HAMIDY: Phishing bukanlah satu trend. Ia merupakan satu penipuan dan tidak boleh dihentikan kerana ada sahaja orang yang hendak mencuba.
Tetapi kalau kita melihat cara phishing ini dia bukan hendak menembusi (penetrate) sistem bank, tetapi ingin menembusi sistem milik pelanggan. Ini bermakna, penipuan tersebut berlaku terhadap pelanggan yang masih kurang berpengetahuan mengenai keselamatan di Internet.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4FRL7QTNX © Utusan Melayu (M) Bhd 

Buat Apa Saja Untuk Memperdaya


Mungkin anda sudah biasa melihat keluhan pengguna Facebook yang kecewa apabila foto mereka digunakan untuk akaun yang tidak pernah dibuka selama ini atau anda sendiri pernah merasai pengalaman sama.
Individu tidak bertanggungjawab cuba menyamar menjadi anda dengan menggunakan foto atau maklumat peribadi dan kemudian mendaftar di media sosial.
Kalau setakat menyamar tanpa berbuat apa-apa mungkin masih boleh dimaafkan tetapi bagaimana pula sekiranya individu terbabit menggunakan identiti anda untuk menipu di laman sosial seperti menjual barang tetapi tidak menghantarrnya kepada pelanggan?
Sudah pasti nama anda yang busuk akibat tindakan terbabit.
Apakah punca utama berlaku kecurian identiti di Facebook terutama yang menjurus kepada kegiatan jenayah atau ugutan siber?
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, jenayah siber kini menjadi satu ancaman yang serius kepada pembangunan sosioekonomi dan keselamatan negara.
“Peningkatan insiden atau jenayah siber berpotensi melumpuhkan kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi sesebuah negara,” katanya.
Menurut beliau, di bawah undang-undang Malaysia iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Seksyen 233, menjadi satu kesalahan apabila seorang individu mendaftar perkhidmatan komunikasi dan multimedia dengan niat melakukan penipuan atau khianat.
“Ia bermaksud bahawa mana-mana individu yang mendaftar perkhidmatan komunikasi dan multimedia menggunakan identiti individu lain untuk penipuan atau khianat adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Malaysia dan boleh dikenakan denda.
“Justeru, Kerajaan Malaysia melihat jenayah kecurian identiti ini sebagai satu jenayah yang serius kerana ia boleh memusnahkan kewangan, sejarah kredit dan reputasi seseorang individu (mangsa) dalam sekelip mata,” katanya.
Tambahnya, selain itu, ia juga mengakibatkan kerosakan yang besar dalam kehidupan seseorang apabila ia memerlukan masa, wang dan kesabaran untuk menyelesaikan masalah berkaitan kecurian identiti ini.
“Umumnya, kecurian identiti berlaku apabila seseorang yang tidak dikenali mencuri dan menggunakan maklumat peribadi individu seperti nama, tarikh lahir, nombor telefon, alamat rumah, nombor kad pengenalan atau nombor kad kredit untuk tujuan tidak baik seperti penipuan dan ugutan siber,” katanya.
Jelas Dr Amirudin, insiden ini berlaku akibat kelalaian mangsa dalam melindungi maklumat peribadi terutama dalam situasi kegagalan mengawal emosi.
“Misalnya perasaan cemas atau tamak apabila menerima mesej atau e-mel yang mempunyai unsur ‘phishing’ daripada penjenayah siber,” katanya.
Penjenayah siber hari ini, beroperasi dengan licik. Mereka mempunyai pelbagai sumber dan kaedah untuk mendapatkan maklumat berkaitan identiti mangsa serta tidak lagi melakukan jenayah ini secara sendirian.
“Mereka cenderung untuk bekerja secara bersindiket dan lebih buruk kumpulan sindiket terancang sebegini sukar untuk dibanteras kerana mereka profesional dan mempunyai motivasi yang tinggi,” kata Dr Amirudin.
Katanya, penjenayah seperti ini sanggup menyelongkar tong sampah mangsa untuk mendapatkan maklumat seperti bil utiliti, bil kad kredit, penyata kewangan dan sebagainya.
“Mereka juga sanggup menyamar sebagai pekerja daripada organisasi yang sah seperti syarikat perbankan, perubatan dan juga pejabat kerajaan semata-mata untuk untuk memperdaya mangsa mendedahkan maklumat peribadi mangsa.
Di ruang siber pula, terdapat empat jenis modus operandi yang biasa digunakan penjenayah untuk mendapatkan maklumat peribadi iaitu:
• Menggunakan teknik penggodaman
• Menggunakan teknik curi secara fizikal (curi komputer laptop, telefon pintar dan sebagainya)
• Menggunakan teknik kejuruteraan sosial (penyamaran melalui telefon, e-mel dan fizikal)

• Menggunakan teknik sosial media (manipulasi maklumat melalui laman web sosial media)

Saturday, 23 July 2016

Kecurian Identiti Dalam Internet

Dalam Internet, terdapat beberapa kegiatan tidak sihat. Antaranya ialah kejadian kecurian indentiti. Ia merupakan jenayah yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu di mana mereka mencuri data peribadi dan kemudian membuat pembelian dengan menggunakan nama orang lain. Penjenayah terbabit mungkin memohon dan menerima kad kredit atas nama orang lain, atau menipu identiti dengan menyakinkan penjual dalam talian bahawa dia adalah pemilik sebenar sesuatu data. Penjual tersebut akan menjual produk itu dan kos dikenakan kepada orang lain.
Kejadian sebegini akan menyusahkan anda yang terbabit dan bakal memusnahkan nama baik, rekod kad kredit yang baik dan menyebabkan anda menghadapi masalah kewangan yang tidak sepatutnya. Kita faham bahawa kejadian kecurian data peribadi bukan sahaja terjadi dalam ruang siber, malah dalam kehidupan sebenarpun kejadian ini berlaku.
Di sini digariskan beberapa aktiviti anda dalam talian dengan menggunakan Internet yang boleh menyebabkan data-data peribadi anda dicuri. Semoga ia menjadi panduan dan diharapkan berhati-hati mendedahkan maklumat penting semasa melaksanakan urusan melalui Internet. Namun begitu, bukanlah Internet itu tidak boleh dipercayai langsung dan aktiviti pembelian serta perdagangan elektronik (e-dagang) tidak dapat dilaksanakan. Sudah terdapat beberapa penyelesaian keselamatan yang digunakan oleh banyak pedagang elektronik. Pastikan setiap laman web e-dagang mengemukakan ciri keselamatan terkini sebelum anda membuat pembelian. Jika tidak yakin, sila hubungi pengendali laman web, dan dapatkan kepastian dari meraka.
Pembelian dalam talian
Jika pelayan di restoran boleh mencuri nombor kad kredit anda semasa menyiapkan sesuatu pesanan, demikian juga orang yang tidak bertanggungjawab dalam Internet yang dinamakan cracker boleh mencuri kad kredit daripada laman web yang tidak selamat. Hadkan pembelian dalam talian anda hanya dari laman web yang menggunakan piawai keselamatan terkini, seperti penggunaan SSL (Secure Socket Layer), iVEST dan tandatangan digital. Laman web yang menggunakan SSL boleh dilihat berbentuk begini: https://www. (seperti perkhidmatan dalam talian JARING di https://www.online.jaring.my). Sementara iVEST adalah produk tempatan terkini (www.ivest.com.my) dan tandatangan digital pula adalah penyelesaian seperti mana yang dikemukakan oleh Digicert Sdn Bhd (www.digicert.com.my).
Borang pendaftaran
Penjenayah juga dapat mengenali anda dengan menyediakan laman web berbentuk peraduan, menawarkan sampel percuma, atau pendaftaran bagi dimasukkan dalam senarai mel. Sebaik sahaja anda mengisi data-data peribadi dalam borang dalam talian yang disediakan, mereka akan mempunyai maklumat mengenai diri anda. Tidak mengejutkan bahawa ramai orang tidak mengisikan borang secara jujur, dan menipu dalam memberikan nombor telefon. Jika anda was-was, jangan isikan semuanya dengan maklumat benar mengenai diri anda. Sedikit penipuan mungkin dapat menyelamatkan diri dari digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Selalunya keperluan mengisi borang ini juga diperlukan oleh laman web yang menyediakan perkhidmatan percuma.
Penjejakan dengan menggunakan cookies
Cookies merupakan peralatan yang digunakan oleh laman web bagi mengesan pergerakan Internet anda dalam laman web mereka. Dengan merekodkan apakah maklumat yang anda minati dan apakah yang anda beli, pedagang akan mula mengenali diri anda dan minat pembelian. Wujud implikasi baik dan buruk dari cookies ini. Dalam satu keadaan, pedagang akan mengetahui apa jenis iklan untuk dipaparkan dan pilihan produk manakah bagi ditawarkan kepada anda.
Jika anda membaca rencana mengenai kecantikan serta penjagaan diri, laman akan memaparkan iklan pemidang dari penjual produk dan penyedia perkhidmatan penjagaan diri. Mereka tidak bazirkan masa anda dengan lain-lain iklan yang tidak anda minati. Kebaikan di sini ialah anda akan dapat mencari maklumat yang diminati dengan pantas. Dalam satu sudut yang lain, privasi anda telah diceroboh. Seseorang telah mengetahui sesuatu mengenai diri anda, walhal anda tidak menginginkan demikian.
Pedagang yang menjual maklumat peribadi anda
Adakah anda mendedahkan maklumat peribadi kepada laman yang menawarkan produk atau perisian percuma? Pemberian maklumat ini boleh diterima sekiranya mereka berjanji tidak akan jualkan maklumat anda kepada pihak lain secara wewenangnya. Sebelum mengisi borang dalam talian, pastikan anda membaca ‘disclaimers’ atau pernyataan penyangkalan dari penyedia laman web tersebut. Jika mereka tidak mempunyai pernyataan ini, dinasihatkan jangan mengisi borang yang disediakan walaupun tawaran dirasakan sangat menarik dan berguna kepada diri anda. Selalunya jika pihak penyedia laman web benar-benar ingin berurusan secara telus, pernyataan penafian ini disertakan.

Sentiasa Jaga Keselamatan Identiti

Demonstrasi Jenayah Siber Berlaku di Rumah
Bayangkan jika kita disapa orang tidak dikenali yang mengetahui hampir segala-galanya mengenai kita baik aktiviti seharian hinggalah maklumat peribadi termasuk tempat tinggal atau di mana kita berada, tentu ia menakutkan, bukan?
Namun, sedarkah kita bahawa semua maklumat itu sebenarnya ‘didedahkan’ oleh kita sendiri menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram tanpa menyedari kita sedang menjerumuskan diri dan keluarga dalam ancaman jenayah siber.
Mungkin sesetengah orang beranggapan tetapan privasi yang terhad kepada keluarga atau orang yang dikenali saja sudah menjamin keselamatan maklumat peribadi mereka, sebaliknya adakah kita yakin bahawa semua rakan dalam rangkaian laman sosial itu benar-benar kita kenali?
Jika penulis sebelum ini begitu yakin dan berasa selamat ketika berada dalam talian kerana sudah menetapkan privasi di laman sosial, namun eksperimen yang dilakukan ketika mengikuti Eksperimen Keselamatan Sosial Internet Digi CyberSAFE yang dianjurkan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), baru-baru ini sempena Pameran Sains Kejuruteraan Kuala Lumpur (KLESF), nyata me­ngubah pandangan penulis mengenai keselamatan siber.
Eksperimen sosial itu diadakan bagi memupuk kesedaran masyarakat terutama ibu bapa mengenai kepentingan keselamatan identiti dalam talian di semua platform media sosial.
Eksperimen dilakukan melalui sesi bacaan minda menggunakan gimik teknologi canggih yang
kononnya boleh membaca memori dan corak pemikiran peserta dengan denyut nadi. Selain itu, beberapa soalan peribadi diajukan pengendali semasa sesi berkenaan di mana peserta perlu menjawab ya atau tidak (dalam hati) pada beberapa pilihan jawapan.
Ketika eksperimen, agak menimbulkan tanda tanya apabila pengendali mengajukan soalan yang bersifat terlalu peribadi dan hampir mendedahkan semua butiran peribadi penulis termasuk bertanyakan sama ada nama kucing peliharaan adalah sama seperti yang mereka sebutkan.
Di sebalik tirai, rupa-rupanya beberapa pakar daripada CyberSecurity mengumpul dan mencari maklumat peserta melalui akaun media sosial mereka.
Realitinya, itulah hakikat yang semua perlu akui bahawa betapa mudahnya maklumat mengenai diri sendiri, anak dan keluarga diketahui orang luar.
Eksperimen berakhir dengan sesi taklimat mengenai kesedaran keselamatan dalam talian, dengan penekanan terhadap cara mengukuh dan memastikan keselamatan identiti dalam talian dan aktiviti media sosial.
Pengurus Program Kelestarian Digi, Philip Ling berkata, ketika kebanyakan orang mahu percaya bahawa Internet adalah selamat dan boleh dipercayai, mereka tidak menyedari maklumat peribadi amat mudah diakses tanpa perlindungan privasi yang betul.
Justeru, katanya, eksperimen sosial itu penting untuk memberi impak kepada masyarakat dan mencetuskan lebih kesedaran terhadap risiko Internet kerana Digi percaya pentingnya pemerkasaan warga digital yang lebih berdaya tahan terhadap risiko dalam talian.
Naib Presiden Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Jangkauan CyberSecurity, Lt Kol (B) Mustaffa Ahmad pula berkata, memandangkan pengguna Internet di Malaysia terus menjadi mangsa penipuan dan kecurian identiti maklumat peribadi kerana kekurangan pengetahuan mengenai keselamatan siber, pihaknya ingin melakukan pemeriksaan realiti melalui pengalaman eksperimen sosial berkenaan.
“Ia amat memberi manfaat dalam mewujudkan kesedaran betapa pentingnya untuk melindungi dan memiliki identiti dalam talian yang selamat,” katanya.
Antara aktiviti yang dianjurkan di gerai Digi termasuklah penerangan mengenai buli siber, hendap siber dan ‘grooming’ siber melalui lakonan pendek yang dilakukan secara langsung.
Dalam pada itu, Digi turut menjalin kerjasama dengan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi melancarkan panduan ibu bapa bertujuan membantu mereka supaya tidak hanya memahami dan membiasakan diri dengan persekitaran media sosial semasa, tetapi juga mengenali potensi risiko dan penyelesaian pencegahan untuk setiap saluran media popular.
Paling penting, panduan itu turut menyediakan permulaan perbualan mengenai pelbagai topik yang ibu bapa boleh gunakan bagi membuka perbincangan mengenai penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab dengan anak masing-masing.
Panduan ini untuk ibu bapa yang tidak biasa dengan Internet, keliru dan meragui pembabitan anak mereka dalam talian, juga ibu bapa yang serba tahu Internet dan ingintahu lebih banyak mengenai keselamatan dan aktiviti dalam talian anak mereka.
Panduan Ibu Bapa, Cara Untuk Berbincang Tentang Internet Dengan Anak-Anak Anda itu yang boleh didapati dalam bahasa Ing­geris, Melayu dan Cina turut menggunakan kisah hidup sebenar mengenai risiko yang mungkin boleh berlaku dalam talian. Ia boleh dimuat turun di digi.com.my/digicybersafe atau safeinternet.my.
Sementara itu, Ketua Komunikasi UNICEF Malaysia, Soraya Bermejo berkata, inovasi teknologi telah maju dengan cara yang belum pernah terjadi sebelumnya sepanjang dekad yang lalu.
“Kami percaya apabila teknologi digital digunakan dengan selamat, ia boleh memberi kanak-kanak dan belia peluang untuk membuat perbezaan dan menyuarakan kebimbangan dan pendapat mereka.
“Bersama Digi, kami berharap panduan ini akan menjadi alat untuk ibu bapa memupuk warga digital masa depan yang menggunakan teknologi secara positif untuk kebaikan sosial,” katanya.
Ling berkata, sejak beberapa tahun lalu, Digi dengan kerjasama beberapa agensi lain sudah mengeluarkan beberapa buku panduan mengenai keselamatan Internet untuk menyebarkan kesedaran dan tip keselamatan penggunaan Internet bagi kanak-kanak.
Justeru, katanya, pendekatan baru dalam buku panduan ini akan memberi kuasa kepada ibu bapa untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan keselamatan anak mereka di dunia maya.
“Ini juga sebahagian daripada usaha kami untuk memupuk pengguna celik Internet dari kecil dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas dan alat untuk kekal selamat dalam talian,” katanya.
Hasil Kajian Kebangsaan Keselamatan Internet Dalam Kalangan Kanak-Kanak Sekolah Malaysia 2014 mendapati:
- 40 peratus tidak tahu cara melindungi diri mereka dalam talian.
- 83 peratus terdedah kepada risiko dalam talian disebabkan langkah perlindungan yang minimum.
- 70 peratus tidak mengambil berat mengenai pencerobohan privasi atau ketanpanamaan orang yang mereka berinteraksi.
- Lebih 40 peratus mengatakan keselamatan dalam talian adalah penting tetapi hanya mengambil langkah perlindungan yang rendah.
Kesedaran tidak semestinya dituruti dengan tindakan positif.
- Lebih 70 peratus melakukan pelbagai bentuk gangguan dalam talian seperti memanggil seseorang dengan nama yang tidak disukai dan menghantar mesej atau gambar yang tidak sopan.
- 64 peratus merasakan menghantar SMS atau gambar yang tidak sopan dengan menggunakan nama samaran bukanlah buli siber.
- 26 peratus pernah mengalami buli siber, kebanyakan mereka berumur 13 hingga 15 tahun.
- Lebih 50 peratus melayari talian tanpa pemantauan dan 40 peratus mendakwa mereka tidak terikat dengan sebarang undang-undang keselamatan siber.
- 61 peratus kanak-kanak mengadu kepada ahli keluarga apabila menghadapi pengalaman negatif dalam talian.
- 6 peratus memilih untuk berdiam diri apabila dibuli walaupun mempunyai pilihan melaporkannya kepada ahli keluarga, pendidik atau pihak berkuasa.




Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 10:37 AM